ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli untuk bersama-sama dengan 700 peserta dalam Larian Amal Pink Wig-A-Thon di sekitar bandar diraja yang sejauh lima kilometer bermula dan berakhir di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Arau pagi semalam.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan kedua anakanda baginda Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Pelepasan larian dilakukan oleh Pengerusi program yang juga Bendahari Yayasan Amal Tuanku Hajah Budriah, Datin Seri Sharifah Hishmah Shahabudin.
Sekalipun hujan, para peserta tetap bersemangat menamatkan larian ini di mana masing-masing dikalungkan dengan medal.
Larian ini sebahagian dari aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Kumpulan Sokongan Kanser Negeri Perlis (Perken), Yayasan Amal Tuanku Hajah Budriah dan Pink Ribbon Wellness (L) Foundation Malaysia.
Kesemua peserta memakai rambut palsu berwarna merah jambu sebagai simbol sokongan kepada pesakit kanser yang kehilangan rambut semasa rawatan kemoterapi.
Sekaligus ini menimbul kesedaran kepada masyarakat mengenai bahayanya penyakit ini yang cuba disampaikan menerusi program larian seperti ini.